SINGAPURA, 14 Oktober 2025 - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg tiba di Republik Singapura petang pada Selasa dalam rangka lawatan kerja rasmi selama empat hari.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak Yang Arif Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Pada lawatan kali ini, beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada program Sarawak Civil Service (SCS) One Team Retreat (OTR) 2025 pada sebelah pagi dan malamnya menghadiri Majlis Makan Malam Gala SCS OTR di Parkroyal Collection Marina Bay, pada Rabu.
Pada Khamis, Premier Sarawak meneruskan lawatan kerja beliau dengan menyampaikan ucaptama sekaligus merasmikan Sarawak Mega Fair 2025 di SUNTEC Convention and Exhibition Centre.
Pada program Sarawak Mega Fair 2025, beliau turut melancarkan Program Eksport Sarawak oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA), dan melancarkan Gerai Pameran Perdagangan dan Pelaburan.
Sementara pada sebelah petang pula, Premier Sarawak dijadualkan mengadakan sesi libat urus bersama Pengurus-Pengurus Dana Antarabangsa di UBS.
Lawatan kerja hari terakhir pada Jumaat pula, Premier Sarawak dijadualkan mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong.